Tuesday, March 27, 2012

Nasihat Lukman kepada Anaknya

Surat Luqman merupakan surah ke 31 dalam Al-Quran.

Surah ini terdiri dari atas 34 ayat dan termasuk golongan surah-surah Makiyyah

Nama Luqman diambil sempena dari kisah Luqman yang diceritakan dalam surah ini bagaimana ia mendidik anaknya.

Antara kandungan nasihat-nasihat Luqman kepada anaknya:
  • Wahai anakku, elakkan dirimu dari berhutang, kerana sesungguhnya berhutang itu akan menjadikan dirimu hina di waktu siang dan gelisah di waktu malam
  • Wahai anakku, sekiranya ibubapa mu marah kepadamu kerana kesilapan yang telah kamu lakukan, maka kemarahan ibu bapamu adalah seperti baja untuk menyuburkan tanam tanaman.
  • Wahai anakku, jika kamu mahu mencari kawan sejati, maka ujilah dia terlebih dahulu dengan berpura pura membuatkan dia marah padamu. Sekiranya dalam kemarahan itu dia masih mahu menasihati dan menginsafkan kamu, maka bolehlah kamu mengambil dia sebagai kawan. Jika berlaku sebaliknya maka berwaspadalah kamu terhadapnya.
  • Wahai anakku, bila kamu mempunyai teman karib, maka jadikanlah dirimu padanya sebagai orang yang tidak mengharapkan sesuatu daripadanya. Sebaliknya biarkanlah dia yang mengharapkan sesuatu darimu.

  • Wahai anakku, jagalah dirimu supaya tidak terlalu condong kepada dunia dan hatimu selalu disusahkan olah dunia saja kerana kamu diciptakan Allah bukanlah untuk dunia sahaja. Sesungguhnya tiada makhluk yang lebih hina daripada orang yang terpedaya dengan dunia.

  • Wahai anakku, sesiapa yang bersifat penyayang tentu akan disayangi, sesiapa yang pendiam akan selamat daripada mengeluarkan perkataan yang sia-sia, dan sesiapa yang tidak dapat menahan lidahnya dari berkata kotor tentu dia akan menyesal kelak.

  • Wahai anakku, bergaullah dengan orang yang soleh dan berilmu. Bukalah pintu hati mu dan dengarkanlah segala nasihat dan tunjuk ajar darinya. Sesungguhnya nasihat dari mereka bagaikan mutiara hikmah yang bercahaya yang dapat menyuburkan hatimu seperti tanah kering lalu disirami hujan.

  • Wahai anakku, janganlah kamu makan sampai kenyang yang berlebihan, kerana sesungguhnya adalah lebih baik jika bahagian dari yang kenyang itu diberikan kepada anjing sahaja.
  • Wahai anakku, jika kamu mempunyai dua undangan majlis, iaitu majlis takziah kematian atau majlis perkahwinan, maka utamakanlah majlis kematian, kerana ianya akan mengingatkanmu kepada kampung akhirat sedangkan menghadiri majlis perkahwinan hanya mengingatkan dirimu kepada keseronokan duniawi sahaja.

  • Wahai anakku, janganlah kamu terus menelan apa sahaja yang kamu rasa manis janganlah terus meludah sahaja apa yang kamu rasa pahit, kerana manis belum tentu menimbulkan kesegaran dan pahit itu belum tentu menimbulkan kelemahan.

  • Wahai anakku, janganlah kamu menjadi lebih lemah dari seekor ayam jantan, kerana ia telah berkokok pada waktu pagi hari sedangkan kamu pada waktu itu masih terbaring di atas katilmu.

  • Wahai anakku, orang yang merasa dirinya hina dan rendah diri dalam beribadat dan taat kepada Allah, maka dia tawadduk kepada Allah, dia akan lebih dekat kepada Allah dan selalu berusaha menghindarkan maksiat kepada Allah.

  • Wahai anakku, kamu telah merasakan betapa beratnya mengangkat batu besar dan besi yang amat berat, tetapi akan lebih lagi daripada semua itu, adalah bilamana kamu mempunyai jiran yang jahat.

  • Wahai anakku, jadikanlah dirimu dalam segala tingkahlaku sebagai orang yang tidak ingin menerima pujian atau mengharap sanjungan orang lain kerana itu adalah sifat riya yang akan mendatangkan cela pada dirimu.
  • Wahai anakku, ambillah harta dunia sekadar keperluanmu sahaja, dan nafkahkanlah yang selebihnya untuk bekalan akhiratmu.

  • Wahai anakku, bertakwalah kepada Allah, orang lain tidak akan tahu engkau takut kepada Allah s.w.t hanya untuk dihormati, sedangkan hatimu menyimpang daripada kebenaran.

  • Wahai anakku, janganlah engkau menyesal kerana berdiam sahaja. Sesungguhnya percakapan itu berharga perak, sedangkan berdiam diri berharga emas.

  • Wahai anakku, hindarilah dirimu daripada kejahatan, nescaya ia akan menjauhimu. Sesungguhnya kejahatan itu untuk sejahat-jahat makhluk.

  • Wahai anakku, janganlah engkau makan makanan yang tidak bersih. Bermesyuaratlah dalam urusanmu yang berbentuk ilmu.

  • Wahai anakku, hendaklah kamu ingat kebaikan orang dan lupa kejahatan orang. Dan hendaklah kamu lupa kebaikan kamu terhadap orang dan ingatlah kejahatan yang kamu lakukan kepada orang. 
Terdapat banyak lagi nasihat yang Luqman berikan kepada anaknya. Hanya ini sahaja yang sempat saya kongsi.

No comments:

Post a Comment